Beregu wanita negara, Vivian Hoo dan Yap Cheng Wen, mengelak kekecawaan apabila meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2019 di Basel, Switzerland, semalam.

Vivian dan Cheng Wen antara wakil negara terakhir beraksi dalam pusingan kedua pada lewat malam tadi.

Lawan mereka adalah gandingan Thailand di ranking ke-34 dunia, Chayanit Chaladchalam-Phataimans Muenwong.

Berdasarkan rekod pertemuan, Vivian dan Cheng Wen memilki peluang seimbang untuk merekodkan kemaraan, dengan masing-masing memiliki satu kemenangan dalam dua perlawanan terdahulu.

Bagaimanapun, pengalaman Vivian yang pernah beraksi di pentas Sukan Olimpik menjadi aset untuk mereka memastikan kemenangan straight set 21-18, 21-16.

"Semestinya kami sangat gembira kerana melepasi pusingan ini. Kami berharap untuk menang dan setiap perancangan berhasil dalam perlawanan ini," kata Vivian.

Cheng Wen pula berkata, "Saya berasakan permainan saya agak kurang baik lagi dan masih belum menyesuaikan diri dengan gelanggang lagi. Kami akan cuba untuk bermain dengan lebih baik dalam perlawanan seterusnya."

Sementara itu, hasrat perseorangan negara, Soniia Cheah, untuk melangkah ke pusingan ketiga hari ini tidak kesampaian apabila tewas kepada Michelle Li yang juga merupakan pilihan ke-11.

Soniia, yang juga wakil tunggal perseorangan wanita negara, mempunyai misi balas dendam selepas tiga pertemuan terdahulu tidak memihak kepada dirinya.

Soniia berjaya menyaingi kepantasan Michelle dalam set pertama sehingga berjaya mengikat kedudukan 15-15, namun kesilapan mudah dilakukan Soniia menyaksikan dia tewas 19-21.

Pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu, bagaimanapun, gagal mempamerkan kebangkitan selepas mudah ketinggalan 3-7 sebelum pemain negara itu hanya mampu menambah satu lagi mata sebelum Michelle terus menoktahkan kemenangan dalam masa 43 minit.