"Semua ini bagaikan mimpi". Demikian reaksi pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang tidak menyangka mereka mampu mencipta kemenangan dalam penampilan sulung dalam Kejohanan Badminton Dunia selepas menyingkirkan lawan dari Korea Selatan, hari ini.

Aaron-Wooi Yik mengotakan janji apabila kehadiran mereka di Nanjing, China, bukanlah sekadar pelengkap jadual.

Apatah lagi, mereka hanya mengetahui kehadiran mereka pada saat-saat akhir selepas dimaklumkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Kemenangan straight set 21-15, 21-18 ke atas Chung Eui Seok -Kim Duk Yong yang berada di ranking ke-35 dunia memperlihatkan Malaysia kini mempunyai permata baru dalam acara beregu lelaki.

"Ini merupakan impian saya untuk beraksi dalam Kejohanan Dunia.

"Kemenangan ini tidak dijangkakan memandangkan kami tidak berdepan tekanan dan bertekad untuk terus berjuang," kata Wooi Yik.

Berbeza pula kisah satu lagi pasangan negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin. Sungguhpun menang ke atas Arjun MR dan Ramchandran Shlok 21-14, 21-15, menanti mereka dalam pusingan kedua adalah beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Namun, dari sudut positif, satu wakil Malaysia sudah pasti akan melangkah ke pusingan seterusnya.

"Semua pemain yang masuk menang dan untuk itu, kami akan cuba mencapai kemenangan esok," kata Yew Sin.

Rakan sepasukannya, Ee Yi, menambah: "Memandangkan akan ada satu pasukan yang akan layak ke pusingan 16, jadi saya bersikap positif."