Perseorangan wanita negara, Soniia Cheah, perlu mengatasi badi tanpa kemenangan dengan bintang Kanada, Michelle Li, dalam perlawanan pusingan kedua, Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland malam ini.

Berdasarkan rekod tiga pertemuan terdahulu, taruhan utama negara itu tewas ketiga-tiganya dengan yang terbaru dalam suku akhir Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Bezanya, prestasi dan kecergasan Soniia ketika ini jauh lebih baik berbanding tahun lalu.

"Michelle kini adalah 10 pemain terbaik dunia.

"Dia kerap melakukan kejutan ke atas pemain utama sebelum ini.

"Saya percaya dia sedang berada di prestasi terbaik.

"Saya mengakui saya masih pemain bukan pilihan tetapi tiada yang mustahil.

"Saya fikir saya mampu memberikannya tentangan yang baik," katanya.

Dalam masa sama, dia menegaskan kemenangan 21-8, 21-18 ke atas pemain Hong Kong, Yip Pui Yin, dalam pusingan pertama semalam, merupakan ujian terbaik sebelum turun menentang Michelle malam ini

"Saya memberitahu diri saya supaya kekal tenang kerana tidak kira apa pun, dia masih pemain berpengalaman dan tahu cara untuk bermain.

"Kita dapat melihatnya dalam set kedua tetapi saya gembira kerana melepasinya," tambahnya.