Dua wakil perseorangan wanita negara, Soniia Cheah dan Goh Jin Wei, menampilkan aksi cemerlang dalam penampilan pertama dalam Kejohanan Badminton Dunia apabila menumbangkan lawan masing-masing di Nanjing, China, hari ini untuk layak ke pusingan seterusnya.

Soniia sepatutnya beraksi dalam Kejohanan Dunia pada 2016 dan 2017, bagaimanapun kecederaan tendon pada 2016 menghalangnya untuk beraksi buat kali pertama manakala 2017 pula menyaksikan dia ditugaskan mewakili Malaysia dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.

2018 memberi sinar buat Soniia untuk membuat penampilan pertama dan persembahannya tidak mengecewakan apabila menang 21-13, 21-12 ke atas wakil Belanda, Gayle Mahulette.

"Ini merupakan penyertaan sulung saya.

"Saya gembira dapat beraksi dalam Kejohanan Dunia memandangkan bukan mudah buat saya. Ini kerana setiap kali saya mahu menyertainya, pasti ada rintangan," kata Soniia.

Turut membuat penampilan sulung dalam Kejohanan Dunia kali ini adalah Goh Jin Wei.

Seperti Soniia, Jin Wei mudah untuk menyingkirkan lawan dari Taiwan, Pai Yu Po, 21-8, 21-15.

"(Corak permainan) di sini berbeza berikutan faktor angin yang bertiup perlahan.

"Jadi, saya perlu bersedia dengan permainan rali.

"Setiap pertarungan adalah berbeza, siapa yang lekas menyesuaikan diri pasti memiliki kelebihan, " tambahnya.