Bekas jurulatih perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek, terkesan mengenangkan kemungkinan Datuk Lee Chong Wei tidak berupaya merealiasikan impian bergelar juara dunia.

Dalam dia mengharapkan agar Chong Wei pulih sepenuhnya, Rashid juga berpandangan bahawa perseorangan Malaysia terpaksa menyusuri era baru.

Ramai jurulatih yang membentuk Chong Wei tetapi tidak semuanya berada dalam situasi melihat ikon badminton dunia tersebut melalui tempoh sukar.

Saat menerima khabar kurang enak tentang bekas anak buahnya itu, memori membawa Rashid menyorot kembali final Kejohanan Dunia 2011 dan Sukan Olimpik London 2012 yang menyaksikan Chong Wei dipaksa menelan realiti pahit apabila tersungkur dalam perlawanan akhir.

"Saya teringat memori kegagalannya mencapai matlamat yang diidam-idamkan, iaitu Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia kerana saya yang melatihnya ketika itu.

"Saya terkenang kekalahannya pada saat-saat genting ketika dia di ambang kemenangan.

"Kalau dia tidak dapat meneruskan kariernya sebagai pemain, saya rasa impiannya tidak dimakbulkan," ujarnya.

Atas dasar itu, Rashid berasakan tiada individu yang lebih berhak untuk bergelar juara dunia atau mengenggam emas Sukan Olimpik selain Chong Wei atas pelbagai cabaran yang sudah dilaluinya.

Tanpa Chong Wei dalam Sukan Asia Indonesia 2018, seterunya akan memandang cabaran perseorangan lelaki yang ditampilkan Malaysia sebagai barisan yang mentah.

Tetapi, ini adalah pengajaran yang perlu dilalui bakat muda seperti Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao untuk akhirnya mengetepikan kebergantungan kepada Chong Wei.

"Ini kali pertama Malaysia dibarisi ramai pemain muda.

"Bukan soal kalah dan menang tetapi yang paling penting, mereka perlu tunjukkan kemampuan sebenar," katanya.