Kempen skuad badminton Malaysia dalam Kejohanan Dunia 2019 yang membabitkan dua wakil terakhir -- satu daripada kem kebangsaan dan satu wakil profesional -- ternoktah setakat peringkat suku akhir, malam tadi.

Wakil profesional menyaksikan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, berada di peringkat lapan terakhir di St. Jakobshalle, Basel, Switzerland, sementara perseorangan lelaki nombor negara, Lee Zii Jia, menjadi wakil terakhir daripada kem kebangsaan untuk mengibarkan cabaran.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, tidak berselindung dengan prestasi skuad negara yang dianggap tidak memuaskan.

"Saya boleh kata yang ia tidak memuaskan.

"Saya fikir kami boleh melakukan sesuatu yang jauh lebih baik berbanding di mana kami berada sekarang, terutama daripada bahagian beregu campuran dan beregu lelaki.

"Saya rasa mereka memerlukan lebih perhatian dan kami berlu bekerja lebih keras.

"Sudah pasti kami memiliki prestasi yang baik daripada perseorangan lelaki dengan prestasi yang ditunjukkan Zii Jia," katanya.