Perasaan malu untuk pulang awal daripada Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland membakar semangat perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, untuk mencipta kebangkitan, sekali gus mara ke pusingan ketiga hari ini.

Realitinya, dia gusar apabila lawannya, pemain tidak ternama dari China, Lu Guang Zu, mudah merampas set pertama 21-12.

Tersentak dengan kekalahan itu, pemain berusia 21 tahun berkenaan menggunakan perubahan taktikal daripada barisan kejurulatihannya untuk kembali bernyawa.

Set kedua menyaksikan dia selesa mengawal permainan untuk menang 21-14 di bawah situasi tekanan tinggi.

Susulan itu, Zii Jia terus agresif memaksa Guang Zu melakukan kesilapan dalam set penentuan sebelum menamatkannya dengan kemenangan 21-15.

"Mungkin dalam set pertama, daripada segi strategi, dia lebih baik.

"Namun dalam set kedua, jurulatih ada beritahu tentang perubahan strategi.

"Nasib baik saya sempat tukar (strategi).

"Ia perlawanan yang sukar dan dia juga bukan pemain biasa," katanya.

Meskipun kekal dengan pendekatan untuk menikmati aksinya di Basel, dia tetap mengambil serius kesempatan untuk beraksi dalam kejohanan itu.

"Memang saya cakap nak menikmatinya tapi saya tetap serius.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan prestasi saya.

"Saya harap dapat mengekalkan momentum ini," tambahnya.

Ketika Zii Jia meraikan kemenangannya, juara dunia lima kali, Lin Dan, terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Basel.

Seperti perseorangan lelaki Malaysia itu, Lin Dan terlebih dahulu tumbang set pertama 11-21 ketika menentang pemain India, H. S. Prannoy.

Legenda China itu memenangi set kedua 21-13 sebelum kecundang 7-21 dalam set penentuan.

Dia akur faktor usia menjadi punca kekalahannya.

"Saya rasa lawan menampilkan aksi yang baik tapi bagi saya, saya sudah tidak bertenaga dan sudah tidak berapa tangkas dalam saingan perseorangan lelaki.

"Kelebihan yang kecil akan memberikan kesan," katanya.