Perseorangan badminton lelaki profesional, Liew Daren, berasakan kali ini dia akan lebih menikmati kempen Kejohanan Dunia 2018 di Nanjing, China, berbanding penampilan dalam edisi Guangzhou 2013.

"Kalau anda bertanyakan soalan ini pada awal tahun, saya mungkin tidak percaya sebab jurang ranking yang sangat jauh.

"Aksi baik dalam Kejohanan Terbuka Malaysia membantu melonjakkan ranking saya. Oleh itu, ini sesuatu yang di luar jangkaan," katanya.

Daren sebelum ini terharu dengan keterbukaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang memberi restu kepadanya untuk mengiringi Datuk Lee Chong Wei.

Pada masa sama, dia turut berkongsi pengalaman pada edisi 2013 yang menyaksikan dia tersingkir dalam suku akhir kepada Chen Long.

"Penampilan sulung memang gugup dan ia sudah lama berlalu. Saya harap dapat melakukan yang lebih baik kali ini," katanya lagi.

Edisi 2013 turut menyaksikan Daren beraksi di samping seorang lagi wakil negara, Chong Wei Feng -- bekas pemain kebangsaan yang kini juga seorang profesional sepertinya.

Sewaktu kunjungan krew Nadi Arena di Akademi Sports Affairs hari ini, Wei Feng kelihatan antara individu yang membantu Daren mempersiapkan diri sebelum kempen bermula pada 30 Julai depan.

"Saya sudah menjalani persiapan sejak dua bulan lalu, masih ada masa lagi.

"Untuk itu, saya akan menyertai dua kejohanan (sebagai medan pemanas badan), iaitu di Singapura dan Thailand manakala dua lagi kempen di Malaysia dan Indonesia belum dapat dipastikan lagi.

"Setakat ini, latihan di sini sangat bagus," ujarnya.