Sentimen peluang terakhir meninggalkan kenangan manis dalam Kejohanan Badminton Dunia menjadi sandaran beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, apabila turun berentap dengan pilihan ketiga di St. Jakobshalle, Basel, Switzerland bagi perebutan tiket separuh akhir.

Peng Soon-Liu Ying mara ke suku akhir selepas terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pasangan bukan pilihan dari Jepun, Takuro Hoki-Wakana Nagahara, 17-21, 21-13, 21-14.

Pilihan kelima itu akan bertemu satu lagi pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, yang juga pilihan ketiga dalam suku akhir.

Sekalipun rekod pertemuan terdahulu memihak pasangan profesional negara itu dengan empat kemenangan berbalas dua, mereka tetap menjangkakan aksi sengit.

Ini di samping keperluan untuk sentiasa mengubah pendekatan bertemu wakil kem beregu campuran Jepun itu yang memiliki khidmat bekas mentor mereka, Jeremy Gan.

"Sudah bertemu mereka banyak kali sebelum ini. Saya berharap kami dapat bermain dengan lebih cemerlang berbanding hari ini. Perkara paling penting, kami perlu meningkatkan kekuatan mental sebelum berdepan lawan dari Jepun itu," kata Liu Ying.

Peng Soon-Liu Ying juga mahu peminat badminton tanah air mengetahui mereka akan menawarkan segala kudrat yang ada ketika menghadapi Kejohanan Dunia kali ini kerana ia berkemungkinan besar menjadi yang terakhir buat mereka.

"Kejohanan Dunia ini sangat penting buat saya dan Liu Ying. Ini kemungkinan bakal menjadi penampilan terakhir kami, namun saya enggan memberikan tekanan yang terlalu tinggi kepada Liu Ying dan diri sendiri," kata Peng Soon.