Kesilapan percaturan dalam set pertama ketika menentang gandingan Jepun hampir mengundang padah buat beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, sebelum menempah tiket ke suku akhir Kejohanan Dunia 2019.

Hanya ada satu pertemuan terdahulu buat Peng Soon dan Liu Ying menentang pasangan Takuro Hoki dan Wakana Nagarahar dan ketika itu, ia memihak beregu Malaysia itu sewaktu dalam saingan Seluruh England, Mac lalu.

Bagaimanapun, permulaan langkah kiri dipamerkan mereka susulan tewas set pertama 17-21 sehingga memberikan tekanan kepada gandingan kebangsaan itu.

"Memang dalam set pertama saya lakukan kesilapan. Kemahuan terlalu tinggi sehingga mengekang pergerakan," kata Peng Soon.

Mujur perubahan taktikal dimanfaatkan dalam dua set berikutnya menerusi kawalan gelanggang yang baik serta mengurangkan kesilapan mudah.

Selepas kemenangan 21-13, 21-14 dalam set kedua dan ketiga, Peng Soon-Liu Ying menghampiri misi peribadi untuk ke separuh akhir dan menanti mereka selepas ini adalah satu lagi pasangan dari Jepun.

"Kami tahu kami tidak bermain dengan baik dalam set pertama. Kami sedar perlu beraksi dengan corak sendiri dan tidak tertekan. Kami hanya fikir bagaimana untuk bangkit," ujar Liu Ying.