Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, terpaksa mengerah keringat dalam aksi sulung mereka dalam Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland, untuk melangkah ke pusingan ketiga hari ini.

Gara-gara gagal menangani persekitaran dalam gelanggang, gandingan senior itu terlepas peluang untuk merekodkan kemenangan selesa.

Selepas memenangi set pertama 21-18, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu membenarkan lawan dari Kanada, Joshua Hulburt-Josephine Wu, bangkit pada penghujung set kedua.

Tewas 19-21 dalam set berkenaan, Peng Soon-Liu Ying -- yang mendapat laluan percuma dalam pusingan pertama -- menunjukkan jurang kualiti sebenar untuk meraih kemenangan 21-16 dalam set penentuan.

"Pada mulanya, kami belum menyesuaikan diri dengan gelanggang.

"Bola (bulu tangkis) agak lambat, jadi kami masih tidak dapat rentak.

"Ada sedikit hilang keyakinan dalam set kedua tetapi selepas berbincang (dengan Peng Soon), kami dapat balik rentak dalam set ketiga," kata Liu Ying.

"Sama jugalah dengan Liu Ying, Set pertama agak baik tetapi dalam set kedua kami hilang keyakinan.

"Nasib baik kami dapat mengubah strategi dalam set ketiga," tambah Peng Soon pula.