Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, terpaksa menunggu selama sembilan tahun untuk melakar satu lagi sejarah dalam karier mereka apabila mara ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Dunia buat julung kalinya.

Peng Soon-Liu Ying mula beraksi dalam Kejohanan Dunia pada 2009, tahun pertama mereka mula digandingkan sebagai pasangan beregu campuran negara.

Lima edisi disertai mereka, iaitu pada 2009, 2010, 2011, 2013 dan yang terakhir pada 2015 menyaksikan perjalanan mereka kerap terkandas dalam pusingan awal manakala edisi selebihnya, mereka tidak turut bersaing kerana Liu Ying mengalami kecederaan serius.

"Saya sangat gembira di atas kemenangan ini dan mara ke suku akhir. Saya berharap dapat menampilkan aksi yang lebih baik," kata Liu Ying.

Aksi pusingan ketiga menentang wakil England, Marcus Ellis dan Lauren Smith, pula disifatkan mereka cukup mendebarkan, perasaan yang sudah lama mereka tidak dirasai sejak final Olimpik Rio 2016.

Biarpun hanya kemaraan ke peringkat suku akhir, mereka tetap berasakan kepentingan untuk membawa harapan negara tatkala Malaysia kini semakin kurang sandaran dalam Kejohanan Dunia.

"Kami sudah beraksi lama tetapi mara ke suku akhir buat pertama kali. Kami mahu terus berusaha untuk mara lebih jauh," kata Peng Soon.