Meskipun tidak berhasil untuk menyerlahkan prestasi sebenar, gandingan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean muncul beregu wanita pertama daripada kem negara yang menempah tiket ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland hari ini.

Dalam aksi pusingan kedua itu, pasangan berkenaan menewaskan lawan dari Taiwan, Hsu Ya Ching-Hu Ling Fang.

Ketika masih menyesuaikan diri dengan persekitaran gelanggang, beregu negara itu memenangi set pertama 21-15.

Bagaimanapun, kegagalan untuk mengekalkan momentum hampir mengundang padah apabila mereka menyerahkan penguasaan kepada lawan itu, yang memenangi set berikutnya 21-13.

"Dalam set kedua, kami berada di kedudukan melawan angin dan kami dapat rasakannya dalam perlawanan.

"Kami sudah mula tergopoh-gopoh dan mereka mengambil kesempatan," kata Mei Kuan.

Mujur mereka berupaya mengatur semula taktikal dalam set penentuan untuk memutlakkan kemenangan 21-11.

"Kami bermain sebaiknya tetapi lawan kami ialah beregu wanita utama Taiwan.

"Mungkin juga kami masih belum menyesuaikan diri dengan gelanggang kerana ini merupakan perlawanan pertama kami.

"Kami sedikit gugup," kata Meng Yean pula.