Selepas kejayaan Liew Daren dan Goh Jin Wei melangkah ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Nanjing, China, kem Malaysia terus gembira dengan kemaraan beberapa lagi wakil negara.

Aksi di Stadium New Arena, Nanjing diteruskan dengan aksi beregu wanita, Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean.

Biarpun baru tiba dari Russia, mereka berjaya mengatasi lawan dari Jerman, Carla Nelte-Isabel Hertrich 16-21, 21-17, 22-20.

"Saya berasakan sangat baik, masih memiliki tenaga untuk beraksi dan akan kembali fokus untuk perlawanan akan datang," kata Meng Yean.

Cabaran negara kemudian diteruskan pasangan beregu muda, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

Mereka berjaya menyingkirkan pilihan ke-12 kejohanan, Lee Jhe Hui-Lee Yang dari Taiwan 16-21, 21-18, 21-19.

"Kami tidak memikirkan kepada kemenangan dan cuba mempamerkan permainan terbaik," kata Aaron.

Sementara itu, satu lagi perlawanan dalam acara beregu lelaki membabitkan pertemuan sesama pasangan Malaysia -- Goh V Shem dan Tan Wee Kiong menentang Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin.

Ternyata V Shem-Wee Kiong sukar ditandingi yang menyaksikan Ee Yi dan Yew Sin terpaksa akur dengan kekalahan 21-16, 21-15.

"Kami amat mengenali gaya permainan mereka kerana berlatih bersama. Ia nampak seperti senang, tetapi Ee Yi dan Yew Sin berusaha sepanjang permainan dengan memberikan tekanan kepada kami," kata Wee Kiong.