Kejohanan Dunia: Malaysia sasar cipta kejutan

Oleh Staff Writer 15 Ogos 2019 1084
Kejohanan Dunia: Malaysia sasar cipta kejutan
Skuad badminton negara berlepas ke Basel , Switzerland hari ini bagi menyertai Kejohanan Badminton Dunia dengan misi mencipta kejutan.

Kejohanan Dunia kali ini berlangsung tanpa beberapa nama besar, termasuk Datuk Lee Chong Wei yang bersara Jun lalu, selain juara dunia 2017, Viktor Axelsen dari Denmark dan pemain nombor dua dunia, Shi Yuqi dari China akibat kecederaan.

Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, tidak menafikan saingan edisi 2019 ini kekal memiliki prestij selain optimis BAM mampu melakar kejutan di Basel.

"Kami akan melakukan latihan sepasukan dan ia merupakan rutin kami di Basel kerana pihak penganjur telah menetapkan setiap pasukan diberikan satu slot," kata Choong Hann.

Di samping itu, BAM mengambil langkah menyenaraikan beberapa pemain baru untuk menggalas cabaran ke Sukan SEA di Filipina, November depan.

Dalam edisi-29 di Kuala Lumpur, skuad badminton negara hanya mampu meraih satu pingat emas melalui Goh Jin Wei bagi acara perseorangan wanita yang menyaksikan Malaysia menamatkan kemarau 14 tahun tanpa emas dalam acara tersebut.

"Kami akan cuba memastikan pemain yang bakal beraksi mampu meraih pingat sementara barisan pemain-pemain muda akan diberikan pendedahan untuk memikul tanggungjawab yang sama."

Sementara itu, pemain beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, yakin mampu memberi aksi terbaik di Basel nanti.

Gandingan itu kembali berlatih bersama selepas Soon Huat pulih daripada kecederaan yang dialami awal tahun ini.

"Kami telah lama berehat kerana Soon Huat mengalami kecederaan tetapi kami sudah kembali berlatih secara intensif dan persiapan kami menghadapi Kejohanan Dunia adalah baik," kata Shevon.

"Saya sangat gembira kerana dapat kembali beraksi dan tidak sabar untuk turun ke gelanggang di Basel," kata Soon Huat.

Pasangan beregu campuran itu mendapat laluan percuma dalam pusingan pertama dan bakal menentang sama ada wakil Jepun atau Scotland bagi pusingan berikutnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen