Jaguh perseorangan China, Lin Dan, yang memburu kejuaraan keenam dalam Kejohanan Badminton Dunia melahirkan kebimbangan terhadap tahap kesihatan seteru utamanya, Datuk Lee Chong Wei, yang kini berhadapan dengan masalah pernafasan yang serius.

Lin Dan mengakui ia keputusan yang amat perit buat Chong Wei untuk menarik diri pada saat-saat akhir tatkala seteru utamanya itu sedang berusaha memburu kejuaraan dunia yang sulung selepas mencuba sekian lama.

Lin Dan pernah mengecewakan Chong Wei sebanyak dua kali berturut-turut dalam pemburuan kejuaraan dunia pada 2011 di London, England, dan kemudiannya 2013 di Guangzhou, China.

Justeru, Lin Dan mengakui faktor usia juga mendorong pemain seperti Chong Wei lebih terdedah kepada masalah kecederaan dan kesihatan tetapi yakin rakannya itu mampu pulih dan kembali beraksi di dalam gelanggang.

"Saya faham keadaan Chong Wei kerana umur kami sebaya.

"Ia keputusan yang perit untuk dia menarik diri daripada Kejohanan Dunia dan Sukan Asia kerana ia amat penting buatnya. Namun, sebagai rakan, saya harap dia segera pulih," katanya.

Dalam masa sama, Lin Dan meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Kejohanan Dunia selepas diberikan tentangan sengit wakil dari Belanda, Mark Caljouw, dalam tempoh 49 minit untuk menang 21-14, 21-14, di Nanjing, China, hari ini.

"Ia perlawanan pertama dan lawan nyata memberi tentangan sengit tetapi saya berpuas hati dapat menang hari ini," katanya.