Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, mengiringi beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, ke pusingan ketiga dalam Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland selepas menewaskan lawan dari England hari ini.

Seperti Peng Soon-Liu Ying, gandingan itu mendapat laluan percuma dalam pusingan pertama.

Ia berdasarkan kedudukan lawan mereka, Bane Lane-Jessica Puch, yang berada di luar kelompok 25 gandingan terbaik dunia.

Pasangan negara itu mengekang asakan sengit sepanjang permainan untuk melakar kemenangan 21-19, 21-19.

"Perlawanan pertama ini bukan persembahan terbaik kami tetapi gembira juga apabila kami boleh memenangi perlawanan ini sebab kami tahu mereka bukanlah lawan yang mudah.

"Ia baru perlawanan pertama kami, jadi kami belum biasa dengan keadaan di sini," kata Pei Jing.

"Kami melakukan kesilapan sendiri dan lawan juga bermain bagus.

"Perlawanan pertama memang ada sedikit tekanan tetapi akan semakin baik selepas ini," tambah Kian Meng pula.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, perlu menyalahkan diri sendiri selepas tersingkir dalam pusingan pertama semalam.

Gandingan nombor dua negara itu bermula baik apabila meraih kemenangan 21-19 ke atas pasangan Jepun, Takuro Hoki-Wakana Nagahara, dalam set pertama.

Ketika hanya kekurangan satu mata untuk meraih kemenangan straight set, mereka melakukan kesilapan hingga membenarkan lawan menyamakan kedudukan 20-20 sebelum tewas 25-17.

Gandingan itu semakin hilang arah dalam set penentuan dan terpaksa akur tewas 16-21.

"Kami perlu menyalahkan diri sendiri kerana kami mendahului 20-17 dalam set kedua.

"Daripada itu, kami mula kehilangan fokus dan meningkatkan tekanan sendiri," kata Soon Huat.

"Saya sedih. Saya rasa pihak lawan menjadi lebih yakin selepas memenangi set kedua.

"Mereka nampak lebih berani dan kami sendiri melakukan kesilapan.

"Tapi, sayangnya, kami tidak dapat memenangi set kedua itu," tambah Shevon pula.