Pemain beregu campuran negara, Tan Kian Meng, mahu membuktikan dia dan gandingannya, Lai Pei Jing, bukan sebagai pelengkap jadual dalam Kejohanan Badminton Dunia 2019 tetapi pencabar kejuaraan.

Awal musim ini, Kian Meng dan Pei Jing melalui kemelut prestasi selepas empat penyingkiran pusingan pertama, termasuk dalam Seluruh England.

Situasi sukar itu dicerminkan menerusi kedudukan ranking mereka apabila terkeluar daripada kelompok 30 terbaik dunia.

Kebangkitan semula dalam Terbuka Malaysia, April lalu serta mara ke separuh akhir menyaksikan mereka kembali ke prestasi sebenar.

Tetapi Kian Meng mengetahui akan ada yang meragui kemampuan mereka untuk melangkah jauh di Basel, Switzerland berbanding pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Kian Meng dan Pei Jing, yang memperoleh laluan percuma dalam pusingan pertama, akan memulakan kempen pusingan kedua menentang pasangan England, Ben Lane dan Jessica Pugh.

"Saya berasakan Peng Soon-Liu Ying memiliki pengalaman dan konsisten ketika beraksi, namun setiap beregu yang beraksi telah berusaha keras dan kami telah mula menampilkan peningkatan berbanding sebelum ini," kata Kian Meng.