Pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Soniia Cheah, melabel kemenangan ke atas pemain Hong Kong, Yip Pui Yin, dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland hari ini sebagai tidak memuaskan kerana ia gagal membuatkan dia tersenyum sewaktu keluar dari gelanggang.

Sebagai pemain terbaik Malaysia, dia meletakkan penanda aras tersendiri untuk mengukur kualiti dan prestasinya.

Dia jelas terkilan apabila gagal mengekalkan momentum penguasaan selepas melakar kemenangan 21-8 dalam set pertama.

Dalam set kedua, Soniia diasak hebat oleh Pui Yin sebelum menjarakkan kedudukan pada penghujung aksi untuk mencatatkan kemenangan 21-18.

"Dalam perlawanan pertama ini, pihak lawan banyak melakukan kesilapan, jadi tidak banyak untuk dibicarakan.

"Dalam set kedua, dia bermain dengan lebih sabar.

"Ada ketika, sewaktu saya sedang mendahului, saya melakukan kesilapan dan tersalah agakan.

"Jadi, dia memperoleh beberapa mata daripada itu.

"Namun, secara keseluruhan, saya tahu saya lebih baik," katanya.

Jika corak permainan seperti itu ditampilkannya ketika menentang bintang Kanada, Michelle Li, dalam pusingan kedua esok, dia sedar kempennya di Basel akan berakhir lebih awal.

"Ia masih pusingan pertama dan ia masih belum mencapai seperti apa yang saya harapkan.

"Maksud saya, daripada segi sasaran peribadi dan apa yang saya inginkan.

"Ia masih belum di tahap itu.

"Sebenarnya, saya mahu keluar dari gelanggang dengan senyuman dalam setiap perlawanan.

"Ia akan berlaku jika saya dapat mengeluarkan permainan saya, mengeluarkan apa yang saya ada.

"Masih ada yang perlu diperbaiki," tambahnya.