Kemenangan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin ke atas lawan dari Jerman memastikan akan ada sekurang-kurangnya satu wakil beregu lelaki yang sah ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland, sebentar tadi.

Undian sebelum bermulanya kejohanan menyaksikan sekiranya mereka melepasi halangan pusingan pertama, mereka tidak boleh mengelak untuk berentap dengan bekas pasangan senior kebangsaan, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, dalam pusingan kedua.

Pertembungan itu menjadi realiti selepas mereka menidakkan gandingan Bjarn Geiss-Jan Colin Volker.

Hanya 31 minit diperlukan gandingan di tangga ke-20 dunia itu untuk merekodkan kemenangan straight set 21-12, 21-19.

Apakah aksi pemanas badan itu akan menjadi kelebihan buat mereka untuk menentang V Shem-Wee Kiong, esok, yang memperoleh laluan percuma?

"Kami melakukan kesilapan dan ia tidak boleh diulangi. Kami perlu tekal tetapi aksi hari ini kurang memberi cabaran kepada kami," kata Yew Sin.

Tambah Ee Yi: "Kami cuba mencari rentak dan untuk pertemuan dengan V Shem-Wee Kiong, kami perlu berikan aksi 100 peratus."