Dua kejohanan bulan depan menjadi penanda aras terbaik buat pemain beregu campuran negara, Goh Soon Huat, sama ada dia bersama Shevon Lai bersedia untuk mengharungi cabaran dalam Kejohanan Dunia.

Ketika pemain negara yang lain memberi tumpuan kepada saingan Piala Thomas dan Piala Uber yang melabuhkan tirai minggu lalu, lain pula buat bahagian beregu campuran negara.

Kali terakhir Soon Huat dan Shevon menyertai pertandingan ialah semasa Terbuka Australia awal bulan lalu yang menyaksikan mereka mara hingga ke suku akhir.

Kini, mereka mempunyai tempoh sehingga sebulan untuk memantapkan lagi rentak permainan masing-masing, dengan Terbuka Malaysia dan Indonesia menjadi tumpuan.

"Selepas kempen Terbuka Australia, kami mempunyai sebulan untuk menghadapi kejohanan seterusnya.

"Kami akan menggunakan kesempatan selama sebulan ini untuk memperbaiki kelemahan selain berusaha menjadikan permainan kami lebih konsisten," ujar Soon Huat.

Dalam masa sama, Soon Huat menganggap persembahan mereka pada 2018 lebih konsisten tetapi dia serta Shevon perlu terus meningkatkan keupayaan masing-masing.

Penyertaan mereka dalam Terbuka Malaysia kali ini juga menebus kekecewaan tahun lalu beriktuan dia terpaksa menarik diri akibat kecederaan buku lali.

Antara pencapaian terbaik mereka tahun ini adalah menjuarai Terbuka Jerman pada Mac di samping muncul naib juara Kejohanan Masters Malaysia serta Indonesia.

"Kami menyasarkan peringkat separuh akhir dalam setiap kejohanan, namun kami terkandas dalam suku akhir kejohanan terakhir kami yang disertai.

"Saya berasakan kami boleh meningkat lagi," katanya lagi.