Skuad badminton Malaysia terus mendapat perkhabaran gembira apabila pemain perseorangan lelaki profesional, Liew Daren, menempah slot ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Nanjing, China, hari ini.

Menentang pilihan kelima kejohanan dari India, K. Srikanth, Daren masih mempunyai sentuhan dimiliki seperti mana dipamerkan dalam dua pertemua sebelum ini menentang pemain India pada 2012 dan 2013 ketika saingan GP Emas Malaysia yang berpihak pada Daren.

Daren memerlukan 41 minit untuk menumbangkan Srikanth, 21-18, 21-18, sekali gus menambah satu lagi kejutan untuk kem Malaysia selepas kejayaan beregu muda, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Ini juga pencapaian terbaik Daren dalam Kejohanan Dunia selepas edisi 2013 di Guangzhou menyaksikan dia hanya mampu mara sehingga pusingan ketiga.

"Ini merupakan kemenangan yang tidak diduga," kata Daren.

"Ramai yang mengatakan saya tidak akan melepasi pusingan pertama dan sekarang saya telah melangkah ke suku akhir. Saya telah berusaha untuk sampai ke tahap ini," katanya.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, menamatkan cabaran Kejohanan Badminton Dunia dalam pusingan ketiga apabila tewas kepada Li Junhui-Liu Yuchen 21-16, 15-21, 20-22, sebentar tadi.