Pemain profesional negara, Liew Daren, meneruskan cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki apabila mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Nanjing, China, hari ini.

Daren, 30, selaku wakil tunggal negara selepas ketiadaan Datuk Lee Chong Wei, mengekalkan momentum apabila mengalahkan pemain Israel, Misha Zilberman 21-16, 21-16, dalam masa 37 minit untuk melangkah ke pusingan ketiga.

Selepas mengejutkan pemenang pingat Sukan SEA 2017 dari Indonesia, Jonatan Christie, dalam pusingan pertama semalam, Daren kini mengintai slot suku akhir apabila dijadual menentang pemain nombor enam dunia dari India, ​​​​​​​K. Srikanth, dalam pusingan ketiga esok.

Dalam satu lagi aksi pusingan kedua, Srikanth mengesahkan tempat ke peringkat seterusnya selepas mengalahkan pemain Sepanyol, Pablo Ablan, 21-15, 12-21, 21-14.

Dalam acara perseorangan wanita, wakil negara, Goh Jin Wei, turut cemerlang apabila mengalahkan pemain Jepun, Aya Ohori, 21-18, 22-20 untuk menentang seorang lagi wakil Jepun yang juga pilihan kelapan kejohanan, Nozomi Okuhara, dalam pusingan ketiga.

Sementara itu, beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, menepati ramalan apabila menyingkirkan beregu sepasukan, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, 21-16, 21-15 dalam pusingan kedua.

Bagaimanapun, laluan ke suku akhir buat V Shem-Wee Kiong agak getir apabila dijadual bertemu beregu nombor lima dunia dari China, Li Junhui-Liu Yuchen dalam pusingan ketiga.

Dalam pada itu, beregu muda lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, melakar kejutan dalam aksi pusingan kedua apabila mengalahkan pasangan ke-11 dunia, Lee Jhe Huei-Lee Yang dari Taiwan 16-21, 21-18, 21-19.

Bagaimanapun, pasangan negara itu menghadapi ujian paling getir dalam perebutan slot suku akhir apabila dijadual menentang beregu nombor lapan dunia,​​​​​​ dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, esok.

Bagi acara beregu wanita pula, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean terpaksa berhempas pulas selama 66 minit sebelum menundukkan pasangan Jerman, Isabel Herttrich-Carla Nelte, 16-21, 21-17, 22-20.

Mereka akan bertemu beregu Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu dalam pusingan ketiga.

Nasib berbeza menimpa satu lagi beregu wanita negara apabila Vivian Hoo-Woon Khe Wei ditunjukkan jalan keluar oleh beregu Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi, dengan catatan 12-21, 21-19, 12-21.

-- BERNAMA