Impian pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren, untuk mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland tidak kesampaian selepas tewas kepada pemain Denmark, Anders Antonsen, dengan keputusan straight set, hari ini.

Meskipun mempamerkan aksi yang dianggap mampu memastikan kemaraannya, ia bukanlah semudah disangka.

Permulaan dalam set pertama menyerlahkan betapa pemain negara itu merupakan pejuang yang tidak mudah mengalah.

Daren mengerah segala keringat yang ada sebelum akur tewas 17-21 dalam set berkenaan.

Dia kemudian bangkit pada awal set kedua apabila mendahului 4-0 tetapi kedudukan berubah selepas Antonsen bangkit mengikat kedudukan 5-5.

Daren cuba mengejar, namun matanya terhenti pada angka 13 untuk pulang hampa susulan kekalahan 13-21 pada penghujung perlawanan.

"Memang pihak lawan beraksi lebih baik hari ini.

"Dia lebih bersedia tetapi saya sudah mencuba yang terbaik.

"Set kedua buat saya rasa sedikit rugi kerana sudah mendahului pada permulaan.

"Saya tidak cukup fokus, jadi dia kejar balik dan memenangi perlawanan," katanya.