Pemain profesional negara, Liew Daren, meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia sambil pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei, turut mencipta kejutan untuk mengikut jejak langkahnya.

Selepas melakar kejutan mengatasi lawan dari Indonesia, Jonatan Christie, semalam, Daren tampak tidak berdepan masalah untuk menundukkan wakil dari Israel, Misha Zilberman, 21-16, 21-16 dalam aksi yang berlangsung selama 37 minit.

"Sebenarnya, memang orang lihat saya sebagai pilihan pada hari ini tetapi ia ternyata lebih sukar. Saya lebih tertekan pada hari ini dan perlu lebih fokus," kata Daren.

Dalam acara perseorangan wanita, Jin Wei turut meneruskan kemaraan susulan kejayaan melepasi halangan wakil Jepun, Aya Ohori.

Menang dalam set pertama 21-18, Jin Wei dipaksa berhempas-pulas sebelum mengesahkan kemenangan 22-20 ke atas pilihan ke-14 itu dalam set kedua.

"Saya memang yakin tetapi hanya fokus bagaimana untuk bermain. Beberapa bulan lepas, saya ada menentangnya dan ia sudah dikaji," ujar Jin Wei.