Perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren, terpaksa membuat kerja rumah tambahan untuk memastikan dia tidak berputih mata dalam pertemuan pusingan kedua menentang perseorangan Denmark, Anders Antonsen, dalam Kejohanan Badminton Dunia 2019.

Antonsen dijulang sebagai prospek dalam acara perseorangan lelaki susulan prestasi memberangsangkan musim ini.

Antara kejayaan pemain di ranking kesembilan dunia itu adalah layak ke suku akhir Terbuka Jepun dan final Terbuka Indonesia bulan lalu.

"Saya akan melihat cara permainannya sebelum ini. Dia beraksi cemerlang dalam Terbuka Indonesia dan Antonsen merupakan seorang pemain yang berkemahiran tinggi," kata Daren.

Daren menjadi tumpuan di Basel, Switzerland susulan pencapaian luar biasanya mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia 2018 di Nanjing, China.

Usai melepasi halangan pusingan pertama Isnin lalu, dia mengakui sengaja meletakkan tekanan ke atas diri sendiri sebagai sumber motivasi.

"Sebelum ini, tiada jangkaan serta sasaran bagi saya dan kali ini tekanan lebih tinggi kerana saya mahu mengutip mata kelayakan Sukan Olimpik."