Datuk Lee Chong Wei berdepan laluan sukar apabila bertemu Brice Leverdez dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland, dari 21 hingga 27 Ogos ini.

Proses undian itu diadakan di ibu pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Menara Naza, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Berdasarkan rekod tujuh pertemuan, Chong Wei pernah tewas sekali kepada pemain Perancis itu dalam Terbuka Denmark tahun lalu namun bagi presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, dia optimis pemain nombor satu negara itu akan melakar kejayaan.

"Ketika di Olimpik sebagai contoh, Chong Wei diramal akan bertemu sama ada Lin Dan terlebih dahulu ataupun Chen Long, kali ini dia akan berhadapan dengan Chen Long walaupun terpaksa menghadapi Tian Houwei sebelum itu dan saya mengharapkan pertemuan epik menentang Lin Dan di final dapat direalisasikan dan Chong Wei akan memenangi kejuaraan tersebut," kata Norza.

Jika segala-galanya mengikut perancangan, pemain berusia 34 tahun negara itu diramal bertemu dua pemain China, Tian Houwei, dalam pusingan ketiga dan Chen Long dalam suku akhir, sebelum berdepan Viktor Axelsen dalam separuh akhir.

Ia merupakan cabaran buat Chong Wei yang berehat panjang dan hanya berlatih di Akademi Badminton Malaysia.

Chong Wei dan barisan pemain badminton negara akan berlepas ke Glasgow pada 16 Ogos ini.

Keputusan undian pemain negara:

Perseorangan lelaki
Lee Chong Wei lwn Brice Leverdez
Zulfadli Zulkiffli lwn Artem Pochtarov

Perseorangan wanita
Yap Rui Chen lwn Wendy Chen

Beregu lelaki
Chooi Kah Ming-Low Juan Shen lwn Nicholas Bonkowsky-Mathew Fogarty
Goh V Shem-Tan Wee Kiong lwn Manu Attri-Reddy B. Sumeeth/Chung Eui-seok-Kim Duk-young

Beregu wanita
S. Sannatasah-Nadia Fankhauser lwn Chang Ye Na-Lee So Hee/Setyana Mapasa-Gronya Somerville
Anna Cheong-Ririn Amelia lwn Ashwini Ponnappa-Reddy N. Sikki

Beregu campuran
Tan Kian Meng-Lai Pei Jing lwn Ronan Labar-Audrey Fontaine/Irfan Fadhilah-Weni Anggraini
K. Yogendran-Prajakta Sawant lwn Lu Ching Yao-Chiang Kai Hsin