Datuk Lee Chong Wei berdepan keputusan paling berat dalam kerjayanya sebaik kembali ke tanah air selepas mengalami penyingkiran awal daripada Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, malam tadi.

Persaraan sedang bermain-main di fikiran Chong Wei susulan kekalahan pusingan pertama di tangan pemain kurang ternama, Brice Leverdez dari Perancis.

Glasgow merupakan pengembaraan ke-10 dalam Kejohanan Dunia buat Chong Wei, namun penghujung yang diharapkan bersama mentornya, Datuk Misbun Sidek, tidak berhasil.

Sebarang keputusan akan dibuat pemain berusia 34 tahun itu apabila dia kembali ke tanah air nanti.

"Saya tidak boleh berkata apa-apa ketika ini. Saya akan membuat keputusan selepas pulang ke Malaysia.

"Saya telah membuat persiapan yang rapi serta tidak menyertai beberapa kejohanan untuk ke Glasgow," kata Chong Wei.

Dia juga mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahannya itu dan enggan menjadikan strategi jurulatih sebagai alasan tewas.

"Kekalahan ini tanggungjawab saya sendiri," tambahnya.

Kredit foto: Facebook Badminton Association of Malaysia (BAM)