Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, optimis undian Kejohanan Badminton Dunia 2019 tidak akan menjejaskan harapan mereka dalam misi meraih kejayaan di Basel, Switzerland, bermula Isnin depan.

Hasrat Aaron-Wooi Yik untuk mengulangi kejutan seperti penampilan dalam pertama edisi pertama lalu di Nanjing, China, mungkin direncatkan oleh gandingan dari China, Li Junhui-Liu Yuchen.

Untuk rekod, empat pertemuan menentang gandingan ketiga terbaik dunia itu menyaksikan tiada kemenangan memihak mereka dengan yang terbaru, tewas dalam Terbuka Indonesia, bulan lalu.

Bagaimanapun, Aaron menganggap mereka sentiasa mempunyai peluang bersandarkan aksi dalam Piala Sudirman yang menyaksikan lawan mereka itu hampir ditewaskan dengan pertarungan itu berlarutan sehingga ke mata akhir perlawanan.

"Kami perlu tumpu satu persatu perlawanan. Kalau kami berpeluang bertemu Li Junhui-Liu Yuchen, saya harap untuk menang.

"Kami akan berbincang dan membuat ulang kaji dengan jurulatih sebelum turun ke gelanggang," katanya.

Dalam pada itu, dia enggan mengambil mudah aksi pertama yang membabitkan aksi dengan wakil Jepun atau India.

"Persiapan kami berjalan lancar dan kami menjalani latihan berat ketika ini.

"Kami akan beraksi minggu depan, jadi masih ada masa untuk kami menjalani sesi pemulihan," tambahnya.