Beregu lelaki profesional negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Arif Abdul Latif, menjadi wakil pertama kontinjen Malaysia yang tersingkir dalam Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland apabila tewas kepada wakil Rusia dalam pusingan pertama, hari ini.

Azriyn-Arif merupakan beregu lelaki negara yang turun beraksi selepas gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi melakar kemenangan semalam.

Bagaimanapun, berdepan gandingan Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov, yang merupakan juara Kejohanan Seluruh England 2016, jelas terlalu sukar buat pasangan negara berkenaan.

Selepas tewas set pertama 21-12, Azyrin-Arif cuba melakar kebangkitan dalam set berikutnya, namun terpaksa akur tewas 19-21.

"Mereka lebih bersedia.

"Pada awalnya kami berasa gementar, jadi apa yang kami nak buat tidak menjadi.

"Tapi, selepas itu, kami cuba mengejar dalam set kedua tetapi sudah terlalu lambat.

"Sebelum ini, kami telah melakukan persiapan tetapi kami tidak dapat mengeluarkannya di sini.

"Kecewalah juga kerana sasaran kami sekurang-kurangnya nak layak ke suku akhir," kata Arif.