Kem badminton negara dalam Kejohanan Dunia 2019 terpaksa menerima beberapa keputusan sukar pada hari ketiga saingan, termasuk penyingkiran beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, di Basel, Switzerland.

Aksi pusingan kedua menentang Takuto Inoue dan Yuki Kaneko dari Jepun itu malam tadi merupakan penampilan pertama Aaron dan Wooi Yik di Basel susulan mendapat laluan percuma pusingan pertama.

Segalanya bermula dengan lancar apabila mereka tidak berdepan masalah memenangi set pertama 21-14 sebelum yang tidak diduga berlaku.

Gandingan negara itu seakan-akan menyerahkan kemenangan kepada lawan mereka yang unggul ke pusingan ketiga selepas mereka memenangi dua set berikutnya 21-17, 21-18.

"Kami bermula agak hambar dan gagal mendapatkan rentak yang cemerlang. Lawan beraksi dengan baik hingga menggugat prestasi kami," kata Aaron.

Wooi Yik turut berkata, "Kami ketandusan idea pada permulaan permainan dan agak tertekan mencari mata. Kami agak kecewa dengan kekalahan ini."