Impian untuk menakluk kian membara dalam diri pasangan muda, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, selepas melakar kejutan terbesar dalam karier mereka hingga kini dianggap sebagai "giant killer" dalam Kejohanan Badminton Dunia 2018.

Tiada siapa menyangka penyertaan mereka pada saat-saat akhir hanya sehari sebelum undian Kejohanan Dunia berlangsung 17 Julai lalu di Kuala Lumpur sehingga mereka terpaksa menarik diri daripada Terbuka Russia bagi memberi tumpuan kepada saingan ini.

Hadir sebagai pemain yang tiada pengalaman beraksi di pentas Kejohanan Dunia, Aaron dan Wooi Yik menumbangkan satu demi satu lawan yang mempunyai ranking lebih baik dari mereka.

Bermula dengan pasangan Korea Selatan, Chung Eui Sok-Kim Duk Young dalam pusingan pertama, seterusnya mereka menyingkirkan pilihan kedua kejohanan dari Taiwan, Li Junhui-Lee Yang dan terbaru, pilihan kelapan dari Denmark, Kim Astrup dan Anders Skarrup Rasmussen.

"Saya berasakan kami membuktikan kepada dunia kami mampu bersaing dengan barisan pemain-pemain elit," kata Wooi Yik.

Bagaimanapun, drama menyelubungi mata kemenangan pasangan Malaysia ini apabila pengadil perlawanan, David Graf Von Schwe, keliru kerana menyangka bulu tangkis terkena kaki Wooi Yik.

Mujurlah kesilapan itu berjaya dibetulkan dan akhirnya Aaron dan Wooi Yik menoktahkan kemenangan dengan keputusan 21-18, 21-16.

"Sebagai beregu bukan pilihan, kami perlu menampilkan persembahan berkualiti," kata Aaron.

"Beregu Malaysia telah beraksi dalam dua perlawanan yang sangat baik, semalam menewaskan pasangan Korea dan mengulangi persembahan mereka dalam perlawanan ini," kata Rasmussen.