Walaupun bergelar beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, tidak terkecuali daripada memerlukan bantuan untuk keluar daripada belenggu kemerosotan prestasi susulan penyingkiran dalam pusingan kedua Kejohanan Dunia 2019.

Selepas muncul naib juara Seluruh England Mac lalu, kredibiliti Aaron dan Wooi Yik diuji hebat sebagai beregu yang kini dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Malah, prestasi mereka sebelum menjejakkan kaki ke Basel tidak menentu apabila tersingkir dalam pusingan pertama Terbuka Indonesia dan suku akhir Terbuka Jepun, Julai lalu.

Pertemuan pusingan kedua menentang pasangan bukan pilihan dari Jepun, Takuto Inoue dan Yuki Kaneko, malam tadi sepatutnya tidak menjadi masalah tetapi ketika kedudukan terikat, wakil negara itu sering melakukan kesilapan sehingga ketinggalan 3-11 dalam set penentuan.

Biarpun mempamerkan percubaan untuk kembali bangkit, ia terlalu sukar untuk mengejar bayang-bayang lawan sebelum ditunjuk jalan keluar.

"Memang agak kecewa dengan diri sendiri kerana sasaran kami bukan di peringkat ini tetapi kini sudah tersingkir.

"Mungkin kami perlu bincang dengan jurulatih. Ia bukan mengenai taktikal tetapi aksi dalam gelanggang. Kami kini ibarat tersekat. Kena tanya orang luar kerana kami tidak nampak kelemahan itu," kata Aaron.