Perebutan slot ke suku akhir Kejohanan Badminton Remaja Astro B-15 Kebangsaan semakin rancak dengan dua pasukan dari Lembah Klang, pasukan Wolf dan Persatuan Badminton Kuala Lumpur masing masing sudah mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya, hari ini.

Persatuan Badminton Kuala Lumpur sebelum ini sudah pun melakar dua kemenangan.

Justeru perlawanan terakhir Kumpulan A menentang Akademi Badminton Times hanyalah sebagai perlawanan pelengkap jadual untuk menentukan siapa yang bakal menjadi juara kumpulan memandangkan Akademi Badminton Times juga turut melakar dua kemenangan.

Perlawanan yang disangka akan menjadi sengit bertukar sebaliknya apabila Persatuan Badminton Kuala Lumpur tampil penguasaan penuh dengan melakar kemenangan 5-0 untuk mengatasi lawan, secara tidak langsung melangkah ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A.

"Kemampuan pasukan saya biasa-biasa sahaja, cuma pihak lawan yang dihadapi tidak setanding, sebab itu kami mampu meraih kemenangan.

"Kami memburu tempat dalam separuh akhir terlebih dahulu sebelum memikirkan aksi final," kata pemain Persatuan Badminton Kuala Lumpur, Odelia Wong.

Saingan dalam Kumpulan C menyaksikan Wolf yang berpengkalan di Lembah Klang berhasrat untuk mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam saingan peringkat kumpulan.

Berdepan Kelab Badminton Bukit Gambir, Wolf tampak tidak terkesan biarpun lawan mencuri satu mata daripada pertemuan perseorangan perempuan.

Wolf akhirnya menang 4-1 untuk turut mara ke pusingan suku akhir sebagai juara Kumpulan C.

"Saya sangat berpuas hati dengan mutu persembahan pasukan saya.

"Kami memenangi ketiga-tiga perlawanan menerusi aksi sengit.

"Kami membuat persediaan rapi, kami menerapkan semangat berpasukan yang tinggi dan saling memberi sokongan.

"Inilah kunci kejayaan pasukan saya," kata Pengurus Wolf, Vincent Soon.