Pemain perseorangan wanita badminton negara, Soniia Cheah, bertekad untuk tampil lebih cemerlang dalam Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China, bermula Selasa ini selepas mempamerkan aksi hambar dalam kesemua kejohanan terdahulu.

Soniia, 26, mengakui tahap keyakinannya kini semakin merudum dan ia menjadi faktor utama dia tersingkir seawal pusingan pertama dalam lima kejohanan setakat ini.

Bagaimanapun, pemain di ranking ke-38 dunia itu masih belum mahu menekan butang panik dan bersedia untuk bangkit dalam kejohanan di Gimnasium Pusat Sukan Wuhan itu.

Soniia menganggap undian sukar yang mendorong kepada penyingkiran awalnya dalam kejohanan terdahulu tidak boleh dijadikan sebagai alasan.

"Sejak akhir-akhir ini, prestasi saya tidak begitu baik, jadi saya berharap dapat memperbaikinya dalam kejohanan akan datang.

"Saya lebih mementingkan prestasi saya berbanding perkara-perkara lain," katanya.

Dalam pada itu, Soniia turut meletakkan sasaran tinggi dalam Kejohanan Terbuka New Zealand, 30 April ini sebagai kejohanan kelayakan pertama ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kami sudah biasa untuk menghadapi dua kejohanan berturut-turut.

"Jika kami tidak tersingkir awal dalam Kejohanan Asia, momentum itu dapat dibawa ke kejohanan seterusnya.

"Jika kami tersingkir awal, kami perlu meneruskan latihan," tambahnya.