Kurang tiga hari sebelum Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, disahkan tidak akan menyertainya selain berkemungkinan terlepas kempen kelayakan pertama ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam Terbuka New Zealand, 30 April hingga 5 Mei ini.

Keputusan itu diambil ketua jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock, yang berasakan Jin Wei masih belum berada di tahap terbaik untuk bersaing di peringkat kompetitif.

Pemain wanita nombor 1 negara itu sepatutnya akan bertemu pilihan utama dari China, Chen Yufei, dalam pusingan pertama, namun tahap kecergasannya kekal menjadi tanya tanya sejak menamatkan kempen Terbuka Malaysia, awal bulan ini.

Selain itu, Seu Bock turut membayangkan Jin Wei akan terlepas kempen kelayakan pertama Sukan Olimpik di New Zealand, hujung bulan ini.

"Ia disebabkan tahap kecergasannya belum pulih sepenuhnya.

"Saya berharap dia akan dapat memulihkan kesihatannya seperti sedia kala.

"Selepas itu, saya akan menentukan kejohanan yang akan disertainya," katanya.

Sementara itu, Sey Bock turut mengesahkan M. Thinaah kini sudah mula berlatih dalam skuad beregu wanita yang dikendalikan Rosman Razak.

Thinaah menyatakan hasratnya itu secara peribadi kepada Seu Bock dan sudah mula menjalani latihan di bawah seliaan Rosman sejak minggu lalu.

Bagaimanapun, dia akan diletakkan dalam pemantauan selama sebulan sebelum keputusan peralihannya akan ditentukan dalam Mesyuarat Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bulan depan.

"Ia sebenarnya keinginan saya sendiri kerana saya berdepan kesukaran dalam acara perseorangan.

"Saya sudah berbincang dengan pelbagai pihak, termasuk keluarga saya, dan mereka menyokong setiap keputusan yang saya ambil.

"Saya akan mencuba dan melihat bagaimana keadaan saya dalam skuad beregu wanita," kata Thinaah.