Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, menuntut beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, supaya bangkit dalam Kejohanan Badminton Asia 2019 sebelum misi pungutan mata Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula dalam Terbuka New Zealand.

Sebelum ini, beregu itu gagal meneruskan saingan dalamTerbuka Malaysia dan Singapura apabila tersingkir dalam pusingan kedua.

Aaron-Wooi Yik perlu membuktikan kecemerlangan mereka dalam saingan di Wuhan, China, 23 April ini, sekali gus menjadi persiapan terbaik buat mereka sebelum ke New Zealand pada 30 April.

Terbuka New Zealand menjadi saingan penting buat semua pemain badminton kerana ia menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik yang pertama dalam misi mengejar slot ke temasya Tokyo 2020.

"Tidak kira macam mana pun, kami meletakkan sasaran ke atas barisan pemain negara supaya berjuang dengan sedaya-upaya tanpa mengira siapapun lawan yang mereka hadapi.

"Ini kerana matlamat kami adalah untuk melihat mereka menjadi pemain terhandal di dunia," jelasnya.

Sementara itu, Choong Hann berharap pemain perseorangan muda lelaki dan wanita negara, Cheam June Wei dan Lee Ying Ying, turut mengambil peluang untuk menonjolkan diri dalam Kejohanan Badminton Asia musim ini.

"Mereka perlu buktikan dalam kejohanan sebenar hasil latihan yang mereka telah lalui.

"Saya mengharapkan peningkatan prestasi berterusan daripada mereka dan saya percaya sesetengah daripada mereka boleh mencapai peringkat separuh akhir atau final (dalam kejohanan terdekat)," katanya lagi.