Kejohanan Asia: Mental Zii Jia belum bersedia 

Oleh Staff Writer 16 April 2019 940
 Kejohanan Asia: Mental Zii Jia belum bersedia 
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat kejutan apabila tidak menyenaraikan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, sebaliknya mempertaruhkan rakan sepasukan yang mempunyai ranking lebih rendah daripadanya untuk menggalas cabaran negara dalam Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China, bermula 23 April ini. 

Nama Zii Jia tidak berada dalam senarai skuad negara yang akan ke Wuhan apabila Cheam June Wei diberi tempat tersebut. 

Ia percaturan yang cukup berisiko memandangkan skuad perseorangan hanya mempunyai seorang wakil berbanding acara lain, tambahan pula June Wei merupakan pemain yang berada di ranking ke-75 dunia.

Ketua jurulatih perseorangan, Datuk Misbun Sidek, tampil mempertahankan langkah tersebut kerana mahu merehatkan Zii Jia yang sebelum ini bergelut dengan masalah prestasi sejak awal tahun ini.

"Buat masa ini, saya lihat Zii Jia tertekan dengan dirinya sendiri. 

"Lawannya menjadikannya sebagai sasaran utama. Ke mana sahaja hala bulu tangkisnya dituju, lawannya sudah menunggu. 

"Dia berdepan tekanan daripada segi itu," jelas Misbun. 

Dalam masa yang sama, Misbun melihat cadangan yang diutarakan Majlis Jawatankuasa BAM untuk menambah pelan latihan pemain daripada dua kepada tiga sesi sehari bukanlah jalan penyelesaian terbaik dalam meningkatkan prestasi barisan pemain negara.

"Pemain elit tidak perlu menjalani tiga sesi latihan sehari. 

"Tetapi buat pemain pelapis yang perjalanan karier mereka masih jauh lagi, merekalah yang memerlukan tiga sesi latihan sehari. 

"Ini disebabkan mereka perlu belajar kemahiran teknikal, kekuatan, mengekalkan ketahanan dan penyudah," katanya lagi. 

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen