Kembalinya gandingan emas beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang menjuarai Kejohanan Masters Thailand semalam memberikan sinar baru buat kem badminton kebangsaan.

Peng Soon dan Liu Ying kembali bergandingan sejak April 2017 dan meraikan kejuaraan pertama di peringkat terbuka dalam tempoh hampir dua tahun apabila menundukkan pasangan tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Puttita Supajirakul, 21-15, 14-21, 21-16 di pentas akhir.

Situasi itu menjadi faktor mengapa gandingan itu akan dikenang sebagai beregu campuran terbaik pernah dilahirkan Malaysia walaupun Liu Ying sering diuji dengan episod kecederaan.

"Secara jujur, kami tidak meletakkan sasaran tinggi buat mereka, hanya mahu mereka cuba membiasakan diri dan mendapatkan kembali keyakinan berganding selepas tidak beraksi bersama dalam tempoh masa yang panjang, terutama Liu Ying yang baru kembali daripada kecederaan," kata ketua jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui.

Turut menarik perhatian adalah pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, yang melangkah ke final, namun terpaksa akur dengan kehebatan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto, dalam aksi yang berakhir 21-16, 21-15.

Meskipun masih awal, nama Jun Hao dicanang dalam senarai pengganti Datuk Lee Chong Wei susulan aksi bertenaga yang ditampilkan.

"Untuk Jun Hao, dia mengambil iktibar dan nasihat daripada barisan jurulatih yang ada.

"Dia mula faham bahawa apabila berlatih bersama kelompok pemain senior, dia mula meraih keyakinan dalam setiap corak permainannya," ujar ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek.