Dalam usaha mengisi kekosongan portfolio pengarah kejurulatihan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu meneroka kemungkinan calon yang dianggap mustahil mendapatkan khidmatnya seperti bekas perancang nombor satu China, Li Yongbo.

Badminton Malaysia begitu mendambakan gelaran Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik, oleh itu hasrat tersebut dilihat boleh diterjemahkan menerusi pelantikan pengarah kejurulatihan yang berkredibiliti.

Beberapa calon sedang disunting ketika ini, terutama membabitkan bekas jurulatih beregu negara dan perancang utama Thailand, Rexy Mainaky.

Ketika ini, kelibat Yongbo di tanah air adalah atas urusan peribadi dan ia dilihat sebagai peluang untuk BAM mendekati beliau.

"BAM perlu berjumpa dengan Yongbo.

"Secara kasarnya, kita boleh mendapatkan pandangan mengenai perancangannya terhadap pasukan Malaysia, daripada situ kita boleh mendapatkan gambaran," kata bekas jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek.

Kredibiliti Yongbo sukar diragui dalam Sukan Olimpik.

Kali pertama badminton dipertandingkan dalam temasya tersebut di Atlanta pada 1992 menyaksikan China gagal memenangi sebarang pingat emas.

Bagaimanapun, selepas temasya Barcelona 1996 sehingga Rio 2016, China telah mengumpul 18 emas di bawah bimbingannya manakala dalam edisi London 2012, mereka menyapu bersih kesemua lima kategori yang dipertandingkan.

Begitupun, Yongbo terkenal dengan sikap sukar bertolenrasi dalam isu disiplin selain BAM perlu menawarkan pakej menarik.

"Kadang-kadang budaya di China dan Malaysia berbeza.

"Belum tentu ia sesuai diterapkan di Malaysia tetapi selagi tidak cuba, kita tidak tahu," kata Rashid lagi.

Sementara itu, bekas Pengurus Besar BAM, Kenny Goh, menuntut BAM agar dapat memberi kuasa penuh kepada pengarah kejurulatihan untuk membuat keputusan.

"Apakah BAM boleh memberi mandat penuh kepada pengarah kejurulatihan tersebut untuk menjalankan tugasnya?

"Sistem di BAM dan China berbeza dan ia mungkin tidak dapat dilakukan di Malaysia.

"Apakah Yongbo berminat untuk datang ke Malaysia? Saya difahamkan, beliau tidak berminat untuk memegang jawatan di luar China," ujarnya.