Barisan beregu lelaki muda negara tidak gentar dengan kehadiran pemain baru, Nur Mohd Azriyn Ayub dan Mohamad Arif Abdul Latif, dalam kem kebangsaan, sambil menyifatkan cabaran tetap terbuka untuk memikat hati ketua jurulatih, Cheah Soon Kit, bagi menjamin tempat ke Piala Thomas di Bangkok, dari 20 hingga 27 Mei ini.

Azriyn dan Arif akan mula melaporkan diri pada Isnin ini, sekali gus memberi cabaran yang amat sengit dalam perebutan tempat ke Piala Thomas.

Ketika kempen kelayakan di Alor Setar, Februari lalu, Malaysia meletakkan sandaran kepada Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Nur Izzuddin Mohd Rumsani-Goh Sze Fei.

Selain V Shem dan Wee Kiong, dua gandingan sedia ada gagal memberi persembahan meyakinkan, sekali gus memberi bayangan kedudukan mereka mungkin digugurkan daripada menyertai kem negara.

"Persaingan memang tinggi sekarang ini. Kami akan gunakannya sebagai medan untuk meningkatkan lagi mutu permainan kami," kata Izzuddin.

Kemasukan Azriyn dan Arif dilihat sebagai satu nilai tambah kepada kem negara, dan Soon Kit kini mempunyai beberapa pilihan lain untuk digunakan.

Namun, masa kian suntuk buat Azriyn dan Arif yang hanya mempunyai baki lebih kurang sebulan untuk membuat persiapan andai jurulatih itu menyenaraikan mereka untuk ke Piala Thomas.

"Mereka adalah pemain berpengalaman. Saya mengambilnya sebagai motivasi dan cabaran. Saya akan cuba yang terbaik dalam kejohanan dan keputusannya akan hadir," kata Sze Fei.

Dalam undian Kumpulan D, Piala Thomas, skuad lelaki akan menghadapi cabaran juara bertahan, Denmark, manakala dijangka tiada masalah menghadapi Russia dan Algeria.