Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) , Morten Frost, enggan mengambil risiko menghantar pemain perseorangan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan pemain beregu campuran, Tan Kian Meng, ke Kejohanan Badminton Campuran Asia di Vietnam selepas kedua-duanya disahkan mengalami kecederaan serius.

Kecederaan belakang yang dialami Iskandar dan kecederaan lutut kiri Kian Meng menyebabkan kedua-duanya terpaksa disisihkan pada saat-saat akhir.

Keputusan itu terpaksa dibuat atas dasar enggan memudaratkan kecederaan kedua-dua pemain ini untuk jangka panjang.

Frost mengesahkan mereka perlu berehat dan menjalani proses pemulihan, terutama Iskandar yang bakal terlepas aksi Seluruh England, bulan depan.

"Iskandar mengalami kesakitan di bahagian tulang belakang dan masalah itu agak serius berbanding jangkaan awal kami sementara Kian Meng mengalami kecederaan di lutut kiri.

"Sekali lagi kami perlu mengambil langkah berjaga-jaga kerana pemeriksaan mendapati hasilnya tidak berapa baik dan doktor menasihatkannya untuk menjalani sesi pemulihan," jelas Frost.

Bercakap tentang kejohanan di Vietnam yang bakal membuka tirai Selasa ini, Frost mengakui kehilangan Iskandar dan Kian Meng hampir pasti merencatkan peluang pasukan negara.

Bagaimanapun, Frost tetap yakin dengan barisan sedia ada, terutama Soong Joo Ven yang dinamakan sebagai pengganti Iskandar.

"Sudah tentu kehilangan mereka akan memberi kesan terhadap peluang Malaysia tetapi kita akan lihat apa yang akan berlaku."

Sementara itu, Frost turut memberi bayangan bahawa pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei, mungkin sempat pulih untuk beraksi dalam Kejohanan Seluruh England bulan depan.

Chong Wei cedera lutut kiri seminggu lalu, namun dia dilihat turun menjalani latihan ringan pada Jumaat sambil dipantau pasukan perubatan Institut Sukan Negara (ISN).
"Chong Wei masih berpeluang, jadi kami tidak mengeluarkan namanya daripada senarai pemain yang akan ke Seluruh England tetapi Iskandar dan Goh Jin Wei tidak akan disenaraikan," katanya.