Kebangkitan semula Datuk Lee Chong Wei daripada kanser membuatkan bahagian perseorangan lelaki negara sedar mereka tiada alasan untuk tidak memenuhi potensi sebenar.

Semalam, Chong Wei mengumumkan dia sedang dalam laluan untuk kembali ke gelanggang kompetitif berbekalkan misi untuk mencabar kelayakan dan seterusnya pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Perkembangan itu sudah memadai buat perseorangan dalam skuad negara kagum dengan perwatakan Chong Wei yang sudah diketahui umum sebagai luar biasa.

Atas dasar itu, mereka berasakan komitmen penuh kepada latihan dalam gelanggang sekurang-kurangnya akan membantu mereka dalam usaha mengangkat martabat skuad perseorangan lelaki.

"Kami amat menghormati Chong Wei kerana dia baru pulih daripada kanser dan seperti yang kita tahu, ia bukan senang.

"Ia keputusan yang berisiko kerana penyakitnya boleh melandanya kembali.

"Kami boleh belajar menerusi semangatnya.

"Dia berdepan rintangan besar untuk kembali bersaing," kata pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia.

Seorang lagi pemain, Soong Joo Ven, menyerap semangat tidak mudah mengalah Chong Wei sebagai contoh terbaik dalam perjuangan kariernya.

"Ia berita yang cukup baik buat badminton Malaysia kerana Chong Wei adalah pemain contoh terbaik kepada kami selain merupakan wira negara.

"Sebagai rakan sepasukan, saya teruja untuk melihatnya kembali.

"Dia membuktikan dengan tidak mudah berputus asa, apa pun tidak mustahil."

Chong Wei dijangka kembali berlatih di gelanggang seawal bulan depan dan kelayakan Sukan Olimpik dijadualkan bermula pada hujung April 2019.