Bekas pemain badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek, kini stabil selepas dimasukkan ke Hospital Gleneagles Ampang, Rabu lalu akibat mengalami masalah hipertensi.

Jalani dikhabarkan pengsan di kediamannya Rabu lalu sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Gleneagles.

Ia susulan penyakit diabetes yang dihadapinya sejak tiga tahun lalu yang berlarutan sehingga mengakibatkan ia menjadi hipertensi.

Bagaimanapun, Jalani yang ditemui hari ini sudah beransur pulih dan stabil.

"Pada mulanya, saya berada dalam keadaan kritikal dan doktor telah berjaya menyelamatkan keadaan saya," katanya.

"Saya amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada doktor yang telah membantu menyelamatkan suami saya," kata isteri Jalani, Datin Seri Zaleha Mohd Khalid.

Jalani merupakan antara legasi anak-anak Datuk Sidek Abdullah Kamar di samping pernah membantu Malaysia meraih pingat gangsa beregu lelakiSukan Olimpik Barcelona 1992 bersama Razif Sidek.

Selepas bersara, selain membantu menguruskan Akademi Badminton Nusa Mahsuri, beliau juga kekal aktif memantau perkembangan skuad badminton negara.