Juara Junior Purple League (JPL) musim lalu, Kelab Badminton (KB) Petaling memulakan cabaran hari ini dengan kemenangan 9-6 ke atas KB Serdang di Sports Arena Puchong, hari ini.

Setelah tewas di tangan KB Rawang minggu lalu, harapan KB Petaling untuk memenangi perlawanan perseorangan lelaki tidak kesampaian apabila pemainnya, Lim Yik Fook, tewas kepada wakil KB Serdang, Weng Hongyang, 0-3 (10-11, 3-11, 5-11).

Dalam perlawanan beregu perempuan, gandingan Nathakorn Jaiareree-Suprapich Silprakob berjaya mengutip mata pertama untuk KB Petaling dengan menumpaskan pasangan Chen Mei Chun-Lim Mei Chen 3-0 (11-6, 11-6, 11-7).

Bagaimanapun, momentum kemenangan KB Petaling berjaya disekat KB Serdang dalam acara beregu campuran apabila pasangan Karina Lim Shu Yi-Mohd Hafiz Mohd Sikkander mudah ditewaskan oleh pasangan Ching Kai Feng-Teoh Lexuan 0-3 (4-11, 5-11, 5-11).

KB Petaling mengutip mata seterusnya dan mengikat kedudukan dalam acara perseorangan wanita apabila pemainnya, Chasinee Korepap, menumpaskan wakil KB Serdang, Lee Xin Jie, 3-0 (11-3, 11-10, 11-3).

Dalam acara beregu lelaki pula, gandingan Kwek Yee Jia-Man Wei Chong menewaskan gandingan Chea Cheng Xiang-Teh Zi Yi 3-0 (11-5, 11-5, 11-2), seterusnya memberi kemenangan mutlak kepada KB Petaling ke atas KB Serdang.

Pengurus pasukan KB Petaling, Ismail Saman, nyata gembira dengan persembahan anak buahnya hari ini.

“Pemain saya memberikan respons yang baik dengan menunjukkan kematangan dan ketenangan mereka dalam permainan setelah dua kali ketinggalan dalam perlawanan hari ini,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu juga menyedari terdapat beberapa kelemahan yang ditunjukkan oleh anak buahnya, terutama dalam acara perseorangan lelaki dan beregu campuran, dan menyatakan masalah ini perlu diselesaikan segera sebelum dieksploitasi oleh pihak lawan.

Berkenaan dengan peluang KB Petaling untuk menjuarai Divisiyen 1 JPL2017, beliau berpendapat, “Ia terlalu awal untuk kami berasa yakin untuk mengekalkan kejuaraan kerana kesemua pasukan telah membawa masuk pemain yang bagus untuk musim ini dan persaingan amat sengit dalam semua kategori.

"Kami masih lagi perlu menentang beberapa pasukan kuat sebelum meletakkan sasaran yang realistik dan ia bermula apabila pasukan kami akan menentang KB Ampang Jaya pagi esok.”

Dalam saingan Divisiyen 2, JPL2017, KB Subang meneruskan cabaran dengan menewaskan KB Desa Petaling 11-7, namun rekod tanpa kalah mereka lebur di tangan KB Georgetown setelah tewas mengejut 5-12 pada sebelah petang. KB Subang kini turun ke tangga kedua liga di belakang KB Bukit Cheras.

KB Bangsar Hawks masih lagi mencari kemenangan sulung selepas mudah ditewaskan 15-1 oleh pendatang baru JPL2017, KB Ayer Itam.

Saingan JPL2017 akan bersambung esok di lokasi sama, Sports Arena Puchong, bermula seawal jam 9 pagi hingga ke sebelah petang melibatkan kedua-dua divisyen.