KB Cheras yang dilabel antara pasukan pencabar utama Junior Purple League (JPL) musim ini mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas mengatasi KB Ampang Jaya 10-8 di Sports Arena Puchong, petang tadi.

Dalam perlawanan pertama set perseorangan lelaki, KB Cheras berada di depan selepas pemainnya, Aidil Sholeh Ali Sadikin, menang ke atas wakil KB Ampang Jaya, Huang Long Kai, 3-1 (10-11, 11-4, 11-6, 11-4).

Gandingan adik-beradik import dari Thailand, Benyapa Aimsaard- Nuntakarn Aimsaard, terus memungut mata buat KB Cheras dalam acara beregu perempuan. Mereka mengatasi gandingan Lee Shun Mei-Wong Kha Yan 3-0 (11-7, 11-5, 11-9).

Selepas itu, giliran pasangan beregu campuran KB Cheras, Ng Wan Win-V. Roobenraj pula mengukuhkan kedudukan pasukan itu apabila menundukkan Mu’ Azzam Danish-Nurul Farisha 3-1 (11-8, 8-11, 11-9, 11-4).

Apapun, dalam acara perseorangan perempuan, Lyu Yan Fei berjaya merapatkan jurang mata buat pasukan KB Ampang Jaya selepas dia menang 3-0 (11-1, 11-8, 11-8) mengalahkan N. Saranya.

Dalam acara terakhir dalam beregu lelaki, gandingan KB Cheras, Muhd Amar Mohd Sani-Muhd Amir Mohd Sani juga tewas 1-3 (8-11, 8-11, 11-6, 7-11) kepada pasangan Ng Tze Yong-Tan Kok Xian. Apapun, keputusan itu tidak menggugat kemenangan ketiga KB Cheras dalam JPL 2017.

Jurulatih KB Cheras, Nova Armada, nyata gembira dengan kemenangan ini biarpun hanya meraih kemenangan tipis.

“Bagi saya, berapa pun kutipan mata, yang penting sekarang adalah kemenangan terlebih dahulu kerana liga masih awal. Kita perlu mencari kedudukan selesa dahulu dalam liga, saya juga terkejut kerana pasukan KB Petaling yang merupakan pencabar utama tewas tadi.

“Dengan tiga kemenangan, ditambah pula dua kemenangan besar sebelum ini, saya sangat yakin untuk mencabar kejuaraan. Apapun, saya mahu sasarkan kedudukan ketiga terbaik dahulu kerana lawan kali ini semuanya memiliki kekuatan sendiri,” kata Nova selepas perlawanan.

Sementara pada sebelah pagi tadi, KB Bandar Maharani menang tipis 10-9 mengatasi KB Ampang Jaya. Juara bertahan, KB Petaling, pula tidak bermasalah untuk menumpaskan KB Puchong United 12-4. Dua lagi perlawanan menyaksikan KB Rawang dan KB Cheras juga berjaya mencatatkan kemenangan.

Dalam saingan Divisyen Dua JPL 2017, KB Subang terus melebarkan kedudukan di tangga teratas menerusi kemenangan ketiga berturut-turut hari ini selepas menewaskan KB Bukit Gambir 9-7.

Di dasar liga pula, KB Bangsar Hawks dilihat masih mencari rentak permainan selepas tewas buat kali ketiga berturut-turut. Hari ini, mereka dikalahkan pendatang baru, KB Amanjaya, 2-15.

Saingan JPL 2017 akan bersambung semula pada Sabtu dan Ahad (23 dan 24 September) depan di Sports Arena Puchong.