Perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei, enggan dikenang bersandarkan jasanya dalam Kejohanan Berpasukan Asia semata-mata.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu mengetepikan pemain ternama seperti S Kidambi, Son Wan Ho selain Jonatan Christie dalam final di Manila, Filipina, dua minggu lalu.

Kejayaan mara ke final itu juga membantu Malaysia layak ke Piala Thomas di Denmark, Mei depan.

Kelibatnya semakin mendapat perhatian dan ia menjadi pemangkin semangat buatnya untuk penampilan yang lebih cemerlang.




"Jumlah peminat yang mengikuti saya di laman sosial meningkat dengan mendadak tetapi ia tidak akan mengubah saya.

"Saya tidak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri.

"Latihan semakin keras tetapi kalau saya ingin ke peringkat kejohanan lebih tinggi, saya perlu berlatih dengan lebih gigih dan sukar lagi," katanya kepada wakil Nadi Arena, Shahrazad Sani, di Akademi Badminton Malaysian (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Justeru, dia bertekad untuk memanfaatkan peluang yang ada tatkala rakan sepelatih, Lee Zii Jia, mula mengukir nama di pentas antarabangsa.

"Ya, saya agak cemburu dengan pencapaian Zii Jia.

"Selepas dilanda beberapa siri kecederaan, saya telah kerugian banyak masa. Saya harap tahun ini boleh menyerlah dan dapat mengiringinya memberikan saingan dalam kejohanan."