Persaingan sihat skuad perseorangan lelaki mula memutik ketika Cheam Jun Wei menyifatkan rakan sepasukan lain tidak akan berpeluk tubuh dalam mencabar Lee Zii Jia yang disifatkan sebagai terbaik dalam kem kebangsaan waktu ini.

Malaysia memandang kepada Zii Jia sebagai pengganti jangka masa panjang Datuk Lee Chong Wei setelah Zii Jia terus membentuk kredibiliti apabila tampil dalam tiga suku akhir di Masters Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Masters Malaysia dan Indonesia merupakan saingan bertaraf Super 500, dengan Zii Jia turut menyingkirkan dua pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia, Kenta Nishimoto dan Chou Tien Chen.

"Setakat ini, Zii Jia memiliki keputusan yang paling baik dan kami akan sentiasa memberikan saingan bagi mendapatkan keputusan yang lebih baik dalam kejohanan akan datang," kata Jun Wei.

Jun Wei juga hampir mencetus senasasi peribadi dalam aksi tunggalnya pada 2019 dengan mengheret pertembungan berdepan Lin Dan dalam suku akhir Masters Thailand ke set penentuan sebelum kecundang kepada juara lima kali itu.

"Ia merupakan pengalaman terbaik buat saya kerana mempelajari corak permainan Lin Dan. Beraksi di Thailand ini akan menjadi platfom buat saya menampilkan permainan yang lebih berkualiti dalam Terbuka Sepanyol dan Jerman nanti."