Hasrat juara remaja Asia, Leong Jun Hao, untuk bergelar juara remaja dunia tidak kesampaian selepas tewas dalam final Kejohanan Remaja Dunia kepada pilihan utama dari Thailand, Kunvalut Vitidsarn.

Rekod dua pertemuan sebelum ini milik Jun Hao, termasuk menewaskan Vitidsarn dalam separuh akhir Kejohanan Remaja Asia, Julai lalu.

Dan ini menyaksikan Jun Hao menjadi pilihan berdepan Vitidsarn walaupun pemain Thailand itu turun selaku pilihan utama kejohanan.

Jun Hao menguasai permainan pada awal saingan dan ia memberi keyakinan terhadap wakil negara ini untuk menjulang kejuaraan dunia pertama apabila menutup set pertama dengan kemenangan 21-17.

Bagaimanapun, kesilapan mudah dan kealpaan Jun Hao memakan diri apabila Vitidsarn bangkit mengikat perlawanan dengan kemenangan 21-15, sekaligus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Beraksi dalam keadaan tertekan, Jun Hao menonjolkan permainan sebenarnya dan terpaksa akur dengan kekalahan 21-9 kepada Vitidsarn.

Perseorangan wanita pula menjadi milik Gregoria Mariska dari Indonesia selepas menewaskan Han Yue, 21-13, 13-21, 24-22.

Beregu lelaki Jepun, Mahiro Kaneko-Yunosuke Kubota, pula unggul dengan menewaskan lawan dari China, Di Zijian-Wang Chang, 21-14, 15-21, 21-13.