JPL2016: KB Kepong tewas mengejut, KB Petaling kian selesa

Oleh Staff Writer 15 Oktober 2016
JPL2016: KB Kepong tewas mengejut, KB Petaling kian selesa
Memasuki baki dua perlawanan pusingan terakhir Divisyen Satu, Junior Purple League (JPL) 2016, kekalahan mengejut Kelab Badminton (KB) Kepong membuka ruang kepada KB Petaling untuk menjarakkan kududukan di tangga teratas liga.

KB Kepong yang menghuni tangga kedua tewas kepada pasukan tangga kelapan, KB Serdang, sekaligus menyebabkan mereka kini berkemungkinan besar terpaksa melupakan hasrat untuk merangkul kejuaraan.

Menurut ketua jurulatih KB Kepong, Ai Jian Wei, terdapat sedikit masalah yang melanda pasukannya hinggadia terpaksa membuat pertukaran pada saat akhir. 

“Kami ada beberapa pemain yang dalam keadaan tidak berapa bagus, jadi terpaksa melakukan pertukaran. Kami mungkin dilihat sudah terlepas kejuaraan, jadi selepas ini target kami ini ialah mengekalkan kedudukan di tangga kedua.

“Bagi saya, kedudukan kedua pun sudah dikira ada peningkatan berbanding tangga keempat tahun lalu. Kami ada pembangunan pemain sendiri, jadi bagi saya mencapai kedudukan nombor dua sudah cukup bagus,” ujar jurulatih itu.

Dalam perlawanan tadi, perseorangan lelaki KB Kepong, Joyireh Avi, tewas kepada Wong Song Jian 5-11, 9-11, 5-11 (3-0). Namun, dalam kategori perseorangan perempuan, pemain import KB Kepong dari Thailand, Silprakhob Suphapich, berjaya menang 11-1, 11-4,11- 7(3-0) ke atas Lim Sze Jin.

Dalam beregu lelaki pula, KB Serdang sekali lagi berjaya mengatasi beregu KB Kepong melalui gandingan Lee Zi Jia/ Soh Wooi Yik yang menewaskan Chu Ai Chia/Gan Jing Err sebelum gandingan beregu perempuan mereka melengkapkan kejutan ke atas KB Kepong.

Dalam set terakhir dalam beregu campuran, kemenangan gandingan KB Kepong, Pearly Tan Kong Le/ Tee Kai Wun ke atas Soon Chia Jie/ Teoh Le Xuan 11-10, 11-3,11- 10 (3-0) nyata sudah terlewat.

Pasukan yang sedang berkira-kira untuk mengekalkan kejuaraan, KB Petaling, pula menjarakkan kedudukan dengan kemenangan besar 5-0 (15-0) ke atas KB Bangsar Hawks.

Jurulatihnya, Yap Kim Hock, nyata begitu gembira dan berpuas hati dengan kemenangan itu kerana mereka semakin menghampiri kejuaraan.

“Kelima-lima pemain adalah merupakan pemain yang kuat saya turunkan hari ini, dan kami telah menang 5-0 (15-0) mengalahkan mereka (KB Bangsar Hawks).

“Kami hanya mahu menang, itu sahaja. Kami akan fokus untuk menang dalam baki perlawanan selepas ini, sekaligus muncul sebagai juara Divisyen Satu,” ujar jurulatih yang penuh berpengalaman itu.

Dalam saingan Divisyen Dua pula, kedudukan Kelab Badminton (KB) Bandar Maharani semakin kukuh untuk menjadi juara dan kedudukan kedua kini menjadi buruan KB Rawang.

Perlu menang dengan mata yang besar untuk mengejar kedudukan teratas, KB Rawang sekadar menang tipis 3-2 (12-7) ketika misi penting menentang KB Tebrau City.

Ketua jurulatih KB Rawang, Jeyaseelan, mengakui agak kecewa tetapi tetap memuji persembahan anak buahnya.

“Saya sedikit kecewa tapi macam mana pun kami perlu ucapkan syabas kepada mereka. Untuk buktikan kami lebih hebat daripada mereka, kami perlu menang dalam perlawanan menentang KB Bandar Maharani nanti”, ujar jurulatih berusia 51 tahun itu.

Pusingan terakhir JPL 2016 sedang berlangsung di Challenger Sports Centre, Ampang pada 15 Oktober (hari ini) dan 16 Oktober (esok) bakal menentukan siapa juara JPL musim ini.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen

Baca Selanjutnya

KB Petaling congak peluang pertahan kejuaraan

By 14 Oktober 2016. 10.06 AM